Rezeki…

Rezeki tidak kemana

Salam sejahtera dan selamat berpuasa semua kepada kaum muslimin dan muslimat, sebagai mana yang diketahui duit keluaran terbaru yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia bermula pada 16hb Julai 2012. Ramai para kolektor yang mempunyai modal besar sudah miliki kesemua siri yang diedarkan dengan First Prefix iaitu bagi setiap wang polymer dan kertas siri RM 1, RM 5, RM 10, RM 20 dan RM 100 yang bermula dengan prefix AA xxxxxxx. Malah ada diantaranya sudah cukup set dengan Replacement Note iaitu Prefix ZA xxxxxxx. Bagi duacongkak semua itu belum ada dalam simpanan melainkan bagi note RM 1 yang baru ditukarkan sebanyak RM 300.

Hasil dari pertukaran itu tidaklah pula ditemui Prefix AA xxxxxxx seperti yang diharapkan tapi cukup sekadar dengan dua keping note dengan nombor RADAR serta sekeping duit gantian yang berada diantara Prefix AH xxxxxxx.

Adusss…gambar kecil pula, walau bagai mana pun boleh klik pada gambar maka akan besarlah dia. Tiga bundle notes RM 1.00 dengan prefix AH xxxxxxx (2) dan satu Prefix AX xxxxxxx.

Penukaran pertama dengan RM 100 memperolehi Prefix AX 5006001. Bila prefixnya berturutan maka bertemulah dengan sekeping note RADAR dengan AX 5006005. Nombor yang dikirakan cantik juga walau pun bukannya dari First Prefix iaitu siri AA xxxxxxx seperti yang dikehendaki. Pertukaran dibuat pada 23/07/2012.

Bagi penukaran kali kedua pula nasib menyebelahi diri bila terdapat duit gantian dalam siri AH 6489601. Setelah disemak satu persatu ternyata pada siri AH 6489677 dan AH 6489679 ditengah tengahnya adalah duit gantian dengan siri ZA 0243897 dimana note ini menggantikan siri AH 6489678 yang telah ditarik disebabkan kerosakan semasa proses tempaan dibuat. (Agaknya).

Bagi tukaran ketiga dihari yang sama iaitu pada 26/07/2012 tiada apa apa yang menarik untuk dijadikan koleksi makanya kesemua RM 100 dari note RM 1.00 akan diguna pakai. Untuk yang RM 200.00 lagi akan disimpan la jawabnya.

Apa pun simpannnnn…dulu.

Rerambut..

Die Crack Error

Keluaran yang lepas untuk syiling 2010 dan kali ini ditunjukkan pula siri tahun 2001 yang terdapat Minor Die Crack Error. Ternyata kecacatan dari jenis seperti rerambut ini bukan pada satu atau dua siri tahun tempaan tapi ianya terjadi dibanyak tahun tahun lain.

Kita cuba layan dulu siri tempaan tahun 2001.

Melihat pada gambar diatas sepertinya tiada apa apa kecacatan dan ianya perlukan ketelitian maka barulah kita dapat temui sesuatu error yang tersembunyi.

Boleh lihat melalui keratan gambar dibawah ini..

Kalau sesiapa yang perasan, kebanyakan Die Crack Error terjadi pada bahagian obverse atau muka depan syiling. Mengapa boleh terjadi begini? Dua keping sudah ditunjukkan dan ini adalah yang ketiga dimana ketiga tiganya terjadi dibahagian obverse. Jarang kita temui dibahagian reverse. Bukan bermakna Die Crack Error tidak terjadi pada bahagian reverse tapi kita amat jarang temuinya bagi syiling 50sen, berbanding dengan siri syiling 1 sen yang mudah ditemui pada kedua dua bahagian mukanya. Untuk melihat bentuk Die Crack yang terjadi pada permukaan syiling 50 sen ini cuba lihat pada bahagian anak panah. Disitulah kita nampak jaluran besi halus timbul bagaikan seurat dawai atau pun seurat rambut. Ianya hampir terjadi sebagai Die Crack RTR.

Ini adalah link bagi syiling keluaran lalu dengan tajuk rerambut. Terjadi pada syiling tempaan tahun 2000

Apa pun simpannnnn…dulu

Kanta 30x > 60x

Hasil dari pengamatan Kanta 30x 60x

Sebelum ini duacongkak mencari syiling syiling error dengan menggunakan kanta biasa yang boleh dipegang pada tangkainya. Sejak bulan Jun duacongkak beralih pula dengan menggunakan jenis kanta lain yang lebih jelas untuk melihat jenis jenis error terutama kecacatan yang amat halus. Selama ini penggunaan kanta biasa, setiap kecacatan yang halus tidak dapat dilihat dengan jelas tapi, sejak adanya kanta baru di beli ternyata penghasilannya lebih memuaskan hati.

Inilah bentuk kanta terbaru yang digunakan untuk mengesan syiling syiling error yang dimiliki oleh duacongkak atas saranan seorang rakan yang berniaga barang barang antik. Kanta ini bukanlah baru lagi kerana ianya telah digunakan oleh rakan tadi. Kira barang terpakai juga laa… Tidak kiralah barang terpakai atau baru asalkan boleh diguna sudah cukup baik.

Kita dapat lihat dua kanta yang ada padanya iaitu satu yang besar dengan pembesaran 30x dan satu lagi kanta kecil dengan pembesaran 60x. Kebiasaannya duacongkak gunakan kanta 30x sebab lebih mudah dilihat. Almaklumlah, mata duacongkak pun bukannya terang lagi, dah layak gunakan cermin mata pun.

Ini pula adalah bahagian bawahnya, dalam bulatan itu terletaknya sebiji mentol dan bila kita tarik keluar kantanya maka lampu tersebut akan menyala. Dengan itu kita dapat mencari jenis syiling error biar pun dalam keadaan cuaca gelap terutama dimalam hari dan tidak menganggu orang yang sedang tidur. Selain lampu putih,terdapat juga lampu biru untuk kesan ciri ciri keselamatan pada duit kertas atau pun lesen memandu, KPT dan apa saja dokumen yang mengandungi ciri ciri keselamatan. Untuk makluman, duacongkak tidak pernah guna lampu itu sebab cahayanya tidak berapa jelas,,,faham saja barangan terpakai.

Ini adalah hasil yang diperolehi dari syiling 50 sen 2010. Sebelum ini duacongkak sudah melihat melalui kanta biasa dan tidak dapat lihat sebarang kecacatan tapi setelah gunakan kanta terpakai ini rupanya syiling ini ada sedikit kecacatan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Untuk mendapatkan gambar yang cantik dari kamera pun tidak berhasil memandangkan duacongkak sendiri mengaku tidak berapa pandai menggunakan kamera digital. Beberapa kali dicuba untuk dapatkan gambar yang cantik tapi tidak berhasil. Cuma ini saja yang berjaya diambil. Apa yang ada pada tiga anak panah itu?

Sebelum ini duacongkak pernah terbitkan syiling dengan tajuk RERAMBUT dan ini juga adalah sekeping syling yang ada rerambut atau istilah errornya iaitu Die Crack Error. Tapi syiling ini adalah Minor Die Crack Error kerana keadaan die crack tidak berapa jelas melainkan dilihat dengan kanta.

Kita ikuti keluaran akan datang.

Apa pun simpannnnn…dulu.

50sen 2000

Lama juga tidak update blog.

Kali ini dikeluarkan pula siri 50 sen untuk tahun 2000 sebagai tatapan pengunjung. Apa yang istimewa pada syiling ini kita boleh lihat gambarnya satu persatu.

Obverse

Reverce

Seperti biasa setiap keluaran dipamirkan keadaan syiling yang hendak di tunjukkan sesuatu error atau variety. Bukan apa, dengan panduan gambar tersebut sekurang kurangnya dapat lihat dengan jelas keadaan syiling ini yang sebenarnya walau pun tidak dapat lihat didepan mata sendiri. Mungkin ada yang menyangkakan syiling ini ” palsu ” memandangkan keluaran siri 50 sen Malaysia banyak yang palsu lebih lebih lagi bagi siri tahun 2000 termasuk dalam senarai syiling palsu. Tapi sekeping syiling ini adalah tulin jika dibandingkan dengan syiling palsu yang ada dalam simpanan duacongkak sendiri.

Bahagian reverse syiling ini kita dapat lihat sedikit gerakan dalam proses cetakan dimana kedudukan rimnya tidak sekata. Boleh dilihat pada bahagian rim dari arah jam 12.00 hingga jam 5.00 ( Off Center ) atau pun Rim Bersirip. Keadaan ini tidak berapa penting untuk di lihat kerana banyak yang boleh kita temui berbanding dengan apa yang hendak ditunjukkan dibawah ini.

Gambar sisi syiling 50 sen 2000 yang ditemui dan amat menarik sekali. Bila melihatkan keadaan sisi syiling ini baru terperasan samada ianya palsu atau pun salah satu variety yang ada pada syiling tempaan tahun 2000.

Gambar hasil dari fokus pada bahagian Type Bank Negara Malaysia disisi syiling 50 sen. Apa yang dapat kita lihat iaitu pada ejaan BANK NEGARA MALAYSIA berlaku sedikit kecacatan dimana ejaan MALAYSIA bukan lagi MALAYSIA tapi sebaliknya MA I AYSIA. ” L ” menjadi ” I ” bermakna sukar untuk membacanya. Disini duacongkak menjangkakan ianya adalah Fill Die Error pada bahagian  sisi rim.

Selain dari ejaannya yang salah, duacngkak juga merasakan syiling ini adalah salah satu variety dimana cetakan pada tulisan BANK NEGARA MALAYSIA agak besar dari siri syiling tahun 2000 yang biasa dilihat. Setakat ini duacongkak baru temui satu jenis type dengan tulisan yang besar. Belum selongkar dan semak semula simpanan yang ada untuk dapatkan yang kedua atau ketiga. Mungkin bila sudah temui beberapa siri dengan tulisan BNM besar maka bolehlah dikatakan ianya satu Variety. Mungkin rakan rakan diluar sana pernah temui syiling ini yang tulisannya besar, sekali pun bukan Fill Die Error untuk buat perbandingan.

Apa pun simpannnnn…dulu.

Variety 2005

50 sen 2005 dengan varietynya

Salam sejahtera, sebenarnya sudah lama duacongkak ingin muatkan berkaitan variety syiling 50 sen 2005 untuk tatapan semua. Oleh kerana kamera buat hal dan puas mencuba pelbagai teknik hingga akhirnya terpaksa juga mendapatkan kawan serta bertanya masalahnya. Mujur kawan ini tahu tentang kamera(juru foto)lalu dia tunjukkan cara bagai mana untuk kendalikan semula. Selamat duit duacongkak yang asalnya mahu hantar ke kedai untuk dibaiki padahal bukan rosak pun. Itulah masalahnya kalau tiada ilmu dalam fotografi hinggakan benda kecil pun disangkakan rosak.

Kembali semula dengan tajuk diatas.

Ramai kolektor tahu syiling 50 sen 2005 adalah keluaran terbanyak yang diedarkan iaitu 691,680,006 dan juga diantaranya terdapat pengeluaran syiling syiling palsu pada tahun tersebut dalam edaran. Berapa jumlahnya tidak pasti, dengan itu sudah tentu jumlah dalam pasaran melebihi dari jumlah yang sebenarnya.

Kali ini duacongkak ingin berkongsi tentang Variety yang dapat dikesan pada syiling 50 sen 2005 hasil dari membelek belek untuk mencari sesuatu error. Variety sebenarnya tidaklah duacongkak tahu kerana tiada info atau belum pernah lihat mana mana panduan buku yang menceritakannya terutama ahli ahli numis Malaysia. Dengan itu duacongkak mohon maaf pada ahli ahli numis Malaysia sekiranya info ini bercanggah dengan kedudukan sebenar.

   

Syiling 50 sen 2005 pertama.

Pada keratan gambar ini cuba lihat bahagian rambu wau sebelah kiri dimana bahagian paling kiri terdapat sedikit lebihan bagaikan taji atau lawi ayam. Kita tinjau siri kedua pula.

 

   

Syiling 50 sen 2005 ke 2

Jika di teliti pada syiling ini di bahagian tajinya kelihatan hampir sama dengan yang pertama diatas cuma bezanya iaitu taji ke dua ini lebih kasar dan keras.

 

   

Syiling 50 sen siri ke tiga

Siri ketiga ini kita dapat lihat keadaan ‘ tajinya’ lebih panjang dari siri satu dan dua. Ketiga tiga siri variety ini sememangnya mudah ditemui diluar sana kerana edarannya cukup banyak. Apa yang penting bagi peminat variety coin mesti mahu dapatkan yang terbaik untuk jadikan koleksi. Lebih lebih lagi syiling yang ‘ bling bling ‘. Rasanya siri bling bling ini hanya untuk syiling siri Parlimen saja dan belum terjumpa lagi bagi siri Bunga Raya.

 

Inilah tiga Variety yang ada pada syiling 50 sen 2005 yang duacongkak perasan untuk diketengahkan sebagai koleksi. Siri ini belum ditemui lagi pada siri syiling 50 sen untuk tahun tahun lain. Apa yang sering dilihat iaitu tajinya sama dengan siri pertama pada gambar sebelah kiri.

( mohon maaf kalau tersalah info )

Apa pun simpannnnn…dulu.


Fonkad lama

Spesis burung di Malaysia

Koleksi lama yang tersimpan sebagai kenangan sewaktu popular sekitar tahun 70an dan 80an.

Burung Pipit Uban

Sewaktu zaman kanak kanak sering juga membantu ibu dan ayah mengerjakan sawah (bendang) dan berpeluang melihat jenis jenis burung pipit sebab burung ini suka dengan buah padi juga ulat ulat. Diantara burung burung pipit yang masih ingat namanya iaitu Pipit Uban seperti digambar atau dipanggil juga Ciak Uban, jenis lain yang masih ingat iaitu Ciak Cerit, dan paling mudah dilihat Ciak Rumah. Sekarang jarang jarang sekali dapat melihat burung burung pipit ini melainkan bagi mereka disebelah utara atau yang tinggal berdekatan dengan sawah padi, sudah tentu tidak hairan kerana dapat lihat setiap hari.

Kenangan yang tidak dapat dilupakan iaitu memukat burung dan memakannya…perghhh.

Burung Raja Udang.

Sejenis burung yang makan ikan dan banyak dilihat sekitar tali air, dulu dulu dikampung panggil nama burung ini Pekaka tapi nama sebenarnya adalah Burung Raja Udang. Entah la samada ” Burung Pekaka ” masih dipanggil orang atau tidak sebab zaman sudah berubah.

Burung Punai Tanah.

Burung hutan yang liar dan amat pantas terbang dengan kelajuannya, kecekapan ia terbang hingga dapat mengawal diri mengelak dari terlanggar pokok dan ranting. Sekali imbas dilihat bentuknya sama dengan burung merpati cuma saiznya agak kecil sedikit. Jika burung ini bersaiz besar sudah tentu hampir sama dengan burung Pergam. Pernah juga rasa daging burung ini ( Punai tanah ) tapi lebih sedap lagi burung Pergam yang saiznya besar.

Burung Enggang di Bumi Kenyalang.

Spesis burung Enggang banyak di Bumi Kenyalang tapi tidak bermakna di Semenanjung tidak ada. Tinggal lagi jarang jarang dapat lihat. Bagi mereka yang tinggal berhampiran dengan bukit bukau tentu tidak hairan sebab mudah dilihat ia terbang mencari makan. Di tempat tinggal duacongkak sekarang amat jarang ditemui malah belum pernah terjumpa lagi dan terakhir sekali melihatnya sewaktu pergi ke Mersing dua tahun yang lepas. Pun bukannya jenis seperti dalam gambar. Apa yang lihat burungnya paruh dan sayap berwarna putih.

Cuma ada empat jenis Kadfon Telekom Malaysia bertemakan burung yang masih disimpan sebagai kenangan.

Apa pun simpannnnn…dulu.

sekeping 10 sen 2006

Kecederaan

Jika diceritakan berkaitan kecederaan pada duit syiling ada pelbagai sebab boleh dibincangkan. Ada yang datangnya dari proses cetakan dan ada juga yang berlaku selepas pengedaran. Apa yang jadi persoalan disini bila proses kecacatan berlaku disebabkan tangan tangan gatal, ini yang menjadi masalah dimana kita memerlukan kepakaran yang ada oleh ahli numis yang lebih arif. Sekurang kurangnya dapat berbincang punca kecacatan yang terjadi. Sebenarnya duit syiling yang berlaku kecederaan datang dari kilang amat sukar ditemui dalam edaran urus niaga harian kecuali bila kecederaan itu dilakukan oleh tangan yang gatal.

Sebelum ini pernah duacongkak keluarkan dalam blog berkaitan syiling 5 sen 2006 yang dinamakan Curve Clipped Planchet Error, tapi kali ini duacongkak ingin tunjukkan pula syiling 10 sen juga edaran tahun 2006.

Apa yang dapat kita lihat disini, keadaan syiling seolah olah hampir terpotong dibahagian tepinya. Kesan terjadi disebabkan oleh pertindihan atau hentakan yang kuat samada semasa proses syiling ditempa atau pun dilakukan diluar kilang secara sengaja atau tidak sengaja.

Untuk pengetahuan pembaca, syiling ini ditemui ketika berbelanja dan duit baki yang diperolehi dalam keadaan seperti dalam gambar dimana duacongkak tidak pasti puncanya. Kita dapat lihat kesan kecacatan antara rim ke rim seperti membulat dan dibahagian tengahnya kesan hentakan hingga ianya berlurah dan dibahagian tepi sekali dibibir syiling terdapat bahagian rim yang tidak terjejas.

Gambar ini adalah keratan dari syiling diatas untuk mudahkan lagi dilihat bila klik pada gambarnya.

Bagai mana pula dengan bahagian obverse?

Keadaan obverse pula tidak berlaku sebagai mana reverse. Disini yang membuatkan keadaan kecacatan pada syiling ini menjadi satu persoalan samada ianya berlaku dari kilang atau pun proses luaran secara sengaja atau tersepit sesuatu. Bahagian yang cedera itu menipis oleh sebab pertindihan yang kuat.


Kita lihat pula bahagian tepi atau sisi.

   

Bentuk sisi syiling yang kita dapati bahagian giginya tidak terjejas sekali pun nampak kesan lekuk.

 

Posisi yang kelihatan lebih jelas untuk dilihat.

Apa yang ditunjukkan ini sekali pun ianya bukan Error yang sebenar, bagi duacongkak ianya satu keunikan juga untuk dijadikan koleksi.

Apa pun simpannnnn…dulu.


20 sen + 50 sen = 70 sen

Kira kira Akaun

Nampak sangat seolah olah baru masuk sekolah belajar kira kira. 20 sen + 50 sen jawabnya 70 sen, dengan 70 sen itu apa lah sangat, untuk minum teh O pun rasanya tidak cukup sebab harga Teh O sudah 80 sen dan ada tempat yang berharga RM1 untuk secawan. Sekiranya dalam kocek ada 70 sen jangan cuba cuba hendak masuk kedai mamak untuk minum minum dengan kawan, lagi baik duit 70 sen dimasukkan dalam tabung dan bawalah note besar sikit untuk minum pagi atau pun minum petang.

contohnya…

Muka depan syiling 20 sen untuk siri terbaru yang diedarkan pada tahun 2012.

Muka belakang syiling dengan tanda nilai 20 sen.

 

Muka depan syiling dengan coraknya untuk nilai 50 sen 2012

Muka belakang syiling dengan tanda nilai 50 sen. Warna diantara syiling 20 sen dan 50 sen hampir sama cuma beza pada corak dan juga bentuk dimana syiling 50 sen lebih besar dari syiling 20 sen. Sisi rim 50 sen pula berlekuk lekuk sebagai panduan untuk membezakannya. Kekadang ada juga yang tersilap bagi pulangan sewaktu berbelanja dengan itu pastikan dulu bahagian tepinya berlekuk atau pun bulat.

Bila syiling ini dicampurkan maka jumlah nilainya menjadi 70 sen dan rasanya duit syiling ini bukan untuk diisi dalam tabung tapi sebaliknya akan dimuat dalam album sebagai koleksi.

Kenapa ianya dijadikan koleksi?

Ini adalah keratan gambar untuk syiling 20 sen diatas dimana pada bahagian anak panah kita dapat lihat Die Chips Error yang menempel pada bahagian kelopak bunga raya. Sayangnya Die Chips Error ini tidak terjadi pada kesemua bahagian kelopak tersebut, hanya empat kelopak saja yang kita dapat lihat. Ada juga diantara syiling 20 sen ini mempunyai Die Chips pada dua bahagian kelopak terutama dibahagian kelopak atas. Apa pun kita cuba cari setiap Die Chips dan pada satu hari nanti kita susun mengikut susunannya. Tentu lebih menarik lagi dijadikan set.

Ini pula keratan gambar dari syiling 50 sen yang terdapat Die Chip Error. Nampak gayanya siri syiling terbaru ini sudah banyak dalam edaran yang berlaku kesilapan waktu proses tempaan, beberapa bloger sebelum ini pun sudah terbitkan jenis jenis Error pada syiling baru ini samada minor error dan ada juga yang major error. Setakat ini duacongkak belum miliki major error untuk diketengahkan melainkan jenis Die Chips Error sebagai panduan.

Apa pun simpannnnn…dulu.

Gegarrrrr…20

Siri Parlimen yang gegarrrrr…

Banyak siri gegar yang ditemui adalah datangnya dari siri Bunga Raya untuk syiling Malaysia. Amat jarang malah sukar kita temui siri gegar pada syiling Parlimen samada sebagai MDD apa lagi yang DD. Kali ini duacongkak ingin tunjukkan sekeping syiling dengan nilai mukanya cuma 20 sen siri Parlimen yang ditempa pada 1981.

20 sen 1981 dengan tempaan edaran sebanyak 144,127,993

Muka depan siri Parlimen

Apa yang kita dapat lihat kedua dua imej ini tidak seperti yang dikatakan iaitu Gegarrrrr… Nampak seperti biasa saja dan dimana bahagian yang dikatakan gegar itu.

Kita teruskan pada bahagian keratan.

Keratan pertama dibahagian MALAYSIA.

Cuba perhatikan tanda anak panah pada setiap huruf, kita dapat lihat cetakannya seperti berganda sebagai mana yang pernah diterbitkan dalam siri Bunga Raya sebelum ini. Kelihatan ianya sepeti MDD dan bukannya DD yang diharapkan.

Keratan kedua pada bahagian tanda nilai.

Kita juga dapat lihat kesan berganda pada sesetengah bahagian.

 

Keratan ketiga

Ini pula gambar bahagian kiri dan kanan imej bunga raya. Lihat gambar sebelah kiri juga kelihatan sedikit gegar tapi sebaliknya gambar sebelah kanan tiada sebarang kesan gegaran.

Keratan keempat.

pada tulisan SEN juga terdapat kesan gegaran begitu juga bahagian DOT dan juga angka tahun 1981. Keadaan ini tidak semua terdapat pada syiling tahun 1981, malah dalam simpanan duacongkak sendiri, syiling ini adalah yang pertama ditemui dan belum ada yang keduanya. Oleh kerana ianya nampak cantik dengan imej berganda seperti DD walau pun dalam kategori MDD sudah cukup untuk dijadikan koleksi.

Ops…belum habis lagi.

Imej kelima pada Bulan dan Bintang.

Imej ini perlukan ketelitian yang sebenarnya kerana, dari apa yang duacongkak perhatikan, ianya lebih kepada Double Die ErrorMungkin ada diantara pakar pakar kita dapat membantu menggredkan kedudukan syiling ini memandangkan siri Parlimen amat sukar untuk kita perolehi jenis DD, malah siri MDD pun amat jarang ditemui. Dengan adanya penjelasan pakar sekurang kurangnya dapat juga menjadi petunjuk kepada penggemar Error Coin yang lainnya bagi memenuhi koleksi yang ada dalam simpanan.

Tak gitu…

Apa pun simpannnnn…dulu.

Kad Talipon

Tarian Singa

Sekitar awal tahun 80an sebelum talipon bimbit banyak dipasaran, talipon awam menjadi keutamaan pada para pengguna untuk menghubungi seseorang, samada pada keluarga atau pun ” marka “. Selain surat menyurat sebagai alat perhubungan waktu itu, talipon awam juga menjadi alat penting. Ada yang menggunakan syiling dan ada juga yang menggunakan kadfon.

Diantara Kadfon yang pernah digunakan waktu itu adalah seperti gambar diatas dengan temanya Tarian Singa. Jika dikirakan keluaran ini bukannya satu bentuk atau corak, malah terdapat lagi corak lainnya, tapi duacongkak hanya ada yang satu ini saja dengan nilai RM 10. Ada juga keluaran dengan nilai lain tapi duacongkak tidak memilikinya kerana waktu itu nilai duit terlalu besar.

inilah bahagian lain yang tertera nilai RM 10 untuk satu kad. Suatu ketika dulu Kadfon ini menjadi salah satu barangan koleksi tapi sekarang sepertinya sudah tidak dihiraukan lagi, mungkin kerana ianya sudah tidak diguna pakai maka peminat kadfon pun ikut lenyap dan tidak popular seperti koleksi lainnya.

Kadfon ini disimpan sebagai kenangan saja kerana suatu ketika dulu begitu popular.

Apa pun simpannnnn…