Lebihan tali

5sen 2004

Tanam pinang rapat rapat, agar puyuh tak dapat lari, ku tenang tenang tak dapat dapat, rupanya datang menyerah diri.

Sirih pinang dicalit kapur,  digobek dulu biar senang dimakan, dapat satu begini jangan dicampur, berikan folder untuk mudah simpan.

DSC_1679 b1 S_trough 5sen

Sirih dikunyah ludahnya bertempat, kelak nanti bertempek merata, syiling 5sen tahun 2004, pemberian rakan FB tanpa diminta.

DSC_1677 a1 S_trough 5sen

Makan sirih sambil berbual, kepala berdengung bagi yang tak biasa, error jenis ini apa nak ditabal, tali gasingnya ada tersisa.

Diantara jenis kecacatan pada syiling Malaysia yang jarang ditemui dan buat kali pertama duacongkak perolehi melalui seorang rakan muka buku. Orang yang sama menghulurkan syiling 1sen 1976 yang diterbitkan sebelum ini. Dalam pemerhatian jenis kecacatan ini bukan disebabkan oleh bendasing atau istilah yang boleh diletakkan sebagai STRUCK THROUGH kerana keadaan kecacatannya timbul separuh dari bentuk tali gasing. Kebiasaan kita lihat Struck Through bentuknya berparit setelah bendasing terlekat pada acuan. Tapi yang ini bentuknya timbul menandakan kecacatan terjadi pada acuan yang sudah rosak disebabkan oleh bendasing hingga ianya bergarit.

DSC_1677 a2 S_trough 5sen

Lihat pada keratan gambar yang menunjukkan bentuk separuh kecacatan yang timbul serta beruas seperti tali gasing. Bagi duacongkak lebih kepada mengumpul dan amat jarang buat kajian punca mengapa ianya terjadi kerana istilah kecacatan pada setiap syiling terlalu banyak hingga sukar untuk disimpan dalam memori kepala. 

Sekiranya kesan yang timbul itu kecil atau berbentuk titik maka mudah difahami iaitu dalam golongan Die Gouge Error, tapi bila sudah panjang menjalar, walau pun ianya seperti Die Gouge Error tapi, pasti ada satu nama khas untuk kecacatan seperti ini.

DSC_1677 a3 S_trough 5sen

Kepakaran dalam bidang ilmu numismatik rasanya boleh sakit jiwa untuk dipelajari terutama bagi duacongkak yang sudah agak tumpul untuk menerimanya. Apa yang ditulis dan apa yang dikongsikan hanyalah untuk rakan rakan lain yang masih tajam penerimaan serta ingatan dan boleh menjadi rujukan bagi mendapatkan kecacatan dari jenis yang sama.

DSC_1675 c1 S_trough 5sen

Kebiasaan, sekiranya orang memberi sesuatu hadiah (syiling error) kepada seseorang, sudah pasti orang tersebut ada lebih dalam simpanan. Dengan itu duacongkak dapat bayangkan bahawa jenis kecacatan ini bukan cuma satu tapi pasti ada adik beradiknya. Cuma diantara tempoh masa pencarian duacongkak selama ini, belum pernah temui kecacatan seperti ini. 

Sekali lagi duacongkak mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara BOY NEO yang sudi menghadiahkan dan dapat dikongsikan dalam blog duacongkak untuk tatapan para pembaca/pengunjung.

Apa pun simpannnnn…dulu.

1sen 1976

 

Die Gouge Error.

Bila terbaca 1sen 1976 mungkin ramai yang berminat untuk mengetahui akan cerita selanjutnya. Maklum saja siri 1sen 1976 ada antaranya menjadi gilaan orang. Tidak perlu banyak persoalan dimana terus terang sahaja duacongkak katakan bahawa syiling ini MELEKAT MAGNET. Bahan yang digunakan adalah dari copper clad n steel.

die gouge 1sen 76 a2

Apa yang hendak dikongsikan dalam keluaran atau terbitan kali ini adalah error yang terdapat pada syiling 1sen 76. Mungkin rakan diluar sana sudah ada yang memiliki jenis error yang terdapat pada syiling 1sen 76 ini, bagi duacongkak, ini adalah kali pertama ditemui dan ianya bukan dari hasil telekan atau pencarian biasa yang dilakukan, tapi sebaliknya diperolehi dari rakan numis/rakan FB/pembaca blog duacongkak juga yang dengan baik hati telah menghadiahkan sebagai kenangan dan ingatan. Hasil kiriman dari beliau rasanya lebih baik dikongsikan bersama rakan pembaca yang lain dalam blog ini.

die gouge 1sen 76

Seperti yang tuan puan lihat pada muka depan syiling ini, kelihatan satu bulatan biru dibahagian atas bangunan Parlimen. Pada tempat tersebut kita dapat lihat Die Gouge yang cantik bertepek pada tingkat yang paling atas. Menurut tuan punya syiling ini, dia miliki lebih dari satu dalam simpanan, oleh sebab itu dia sudi hadiahkan kepada duacongkak dan beliau juga menjelaskan bentuk Die Gouge adalah sama. Ini bermakna siri 1sen 1976  miliki jenis kecacatan yang sama dalam edaran dan mungkin banyak dipasaran ketika itu. Cuma kini jika hendak mendapatkannya agak sukar memandangkan, syiling 1sen sudah lama dimansuhkan.

die gouge 1sen 76 a1

Keratan gambar menunjukkan kedudukan Die Gouge Error yang terjadi pada atas bangunan syiling 1sen 1976. Mungkin ianya tidak popular sebagai mana syiling 50sen 1988 atau dikenali dengan Extra Dot mengikut buku.  Sebab 1sen 76  Die Gouge tidak popular senang sahaja, dulu syiling error agak kurang diminati pengumpul maka tumpuan pada setiap jenis syiling error diabaikan. Tapi kini jangan buat pasal, pantang terjumpa oleh para numismatik, error coin pasti digenggam dan disimpan sebaik baiknya. Malah dalam rakan rakan FB kita dapat lihat pelbagai penemuan baru yang cantik menarik dan tertarik yang tidak ada dalam simpanan kita akan muncul hingga menyebabkan terpaksa pula kita mencari dan menelek syiling setiap hari.

Cukuplah celoteh duacongkak untuk kali ini yang sememangnya sudah lama tidak dilakukan. Kepada rakan numis dan juga rakan muka buku yang baik hati memberi hadiah kenangan ini, duacongkak ucapkan berbanyak banyak terima kasih, tidak dapat dibalas dengan apa yang tuan sumbangkan ini dan duacongkak amat berbesar hati serta menerimanya dengan setulus hati juga.

TQ BOY NEO

Apa pun simpannnnn…dulu.