Gelas FN

Ada cerita disebaliknya.

Sebiji gelas F&N dari Susu Pekat Manis yang diperolehi dari sebuah kedai mamak. Kenangan dibulan Puasa baru baru ini dimana bersahur dikedai mamak. Seperti biasa roti canai dua keping dan air Teh O kurang manis. Bila makanan dan minuman yang dipesan sudah siap dan dihantar ke meja, amat terkejut bila melihat Teh O yang dihantar menggunakan gelas F&N yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Kebiasaan gelas kosong tanpa cop apa apa dan ada juga kedai yang menggunakan gelas plastik. Selain itu gelas atau mug Ali Cafe tapi kali ini buat pertama kalinya duacongkak diberikan air Teh O dalam gelas F&N Susu Pekat Manis.

Air dalam gelas tidak dihiraukan sebaliknya gelas itu diangkat lalu dibelek sambil tersenyum. Member yang ada bersama waktu itu pun turut tersenyum kerana melihat gelagat duacongkak yang tidak hiraukan roti canai setelah melihat gelas Teh O.
 Akhirnya member pun tegur supaya hentikan membelek dan teruskan makan roti canai sebab waktu sahur tinggal tidak berapa lama lagi.

 

Gambar diatas itu adalah gelas F&N Susu Pekat Manis yang dimaksudkan. Setelah makanan dan minuman habis ditelan, duacongkak memanggil pelayan (dari India) supaya kira semua makanan. ” Macha, you kira sama ini gelas tau…saya mau ini gelas…” Pelayan itu pun hanya senyum saja mendengar permintaan luar biasa dari duacongkak. ” tak pa…ini gelas kalau encik mau, saya kasi saja, tak perlu kira “

Oit…betul ka? banyak baik…Ngeeee 🙂

Orang sudah pelawa, kita minta bukan mahu percuma tapi mahu dibayar dan suruh kira semua sekali dengan gelas ini, tapi pelayan India itu offer supaya ambil percuma. Apa lagi, habis minum dan bila mahu keluar dari kedai, dengan gelas sekali dibawa keluar…haha. Waktu itu mata menjeling juga dengan pelanggan lain sebab malu juga kalau mereka perasan duacongkak ambil gelas selepas minum.

Sekali lihat pada bawah tapak gelas kelihatan cop dengan tulisan MALAYSIA. Bermakna gelas ini dikeluarkan di Malaysia dan tidak pasti untuk tahun bila sebab rumah duacongkak amat jarang sekali ada susu. Malah sudah sekian lama duacongkak tidak membeli susu tin kerana tidak gemar meminumnya. Kebiasaannya duacongkak minum air tanpa susu sebaliknya, kalau makan roti canai selalu pula guna susu sebagai pengganti kuah dal atau kari.

Sayang sekali sewaktu minum tiada kamera untuk diambil gambarnya, almaklum lah…hand phone yang digunakan tidak ada kamera untuk dirakam sebagai buktinya. Yang penting gelas ini kekal dalam simpanan dengan kenangannya yang tersendiri.

Apa pun simpannnnn…dulu.

Gelas lama

Green Pea Milk

Sebiji gelas lama yang ditemui lama dah…saja lewat dimuatkan dalam blog sebab ianya berada dalam simpanan yang perlu diselongkar. Baru baru ini cuba selongkar balik koleksi yang ada untuk mengemas rumah terjumpa gelas ini dan terus diambil gambarnya sebelum di simpan semula.

Apa yang tertera pada gelas ini adalah Green Pea Milk dengan tulisan Inggeris, terdapat juga tulisan Cina dan juga tulisan Jawi. Tahun bila ianya ada dalam pasaran tidak pasti sebab dulu dulu tidak pernah meminumnya. Pasti satu ketika dulu susu kacang ini begitu popular dikalangan penggemarnya.

Cop pada bahagian badan gelas ini hanya sebelah sahaja dan tidak pada bahagian lain.

Gelas gelas lama kebanyakannya dikeluarkan oleh satu syarikat yang menggunakan logo crown sebagai mana yang dapat dilihat pada bahagian bawah gelas. Bentuk crown juga ada yang berbeza beza iaitu ada dalam bentuk queen dan ada juga yang berbentuk king.

Bagi gelas terkini kita tidak lagi dapat lihat sebarang bentuk crown dibawahnya melainkan gelas keluaran 70an atau awal 80an dan sebelumnya.

Apa pun simpannnnn…dulu.

Gelas Hacks

Generasi ke Generasi

Dah lama tidak keluarkan gelas dalam simpanan untuk tatapan. Bukan nak tunjuk tunjuk tapi saja suka suka sebab koleksi yang ada baru ciput nak dibandingkan dengan para kolektor yang sudah lama berkecimpung. Apa yang ditunjukkan hanyalah sekadar memanaskan blog daripada terhenti.

Sebiji gelas keluaran gula gula Hacks yang tidak pasti bilakah ianya diedarkan. Hacks Lemon Generasi ke Generasi ini diperolehi sewaktu meninjau dikedai barangan terpakai. Bermacam macam jenis gelas keluaran lama dan baru dapat dilihat dan ianya dilunggukkan dalam beberapa biji bakul. Oleh kerana keadaan gelas bertindih tindih dengan itu terpaksalah membuang sedikit masa untuk membelek satu persatu. Hasil kesabaran dan amat berhati hati takut takut akan pecah, ternampak pula tulisan HACKS pada gelas yang berada paling bawah. Dengan tiba tiba saja semangat naik dan gelas HACKS pun berjaya dikeluarkan dari bakul. Terus diperhatikan dan dilurut dengan jari samada ianya terdapat kesan sumbing atau retak. Ternyata ianya masih elok tanpa kecacatan cuma berabuk sahaja.

Gambar Lemon bersetentang dengan tulisan Hacks pada permukaan gelas.

Bahagian tapak gelas tertera tulisan pengilang dari Indonesia yang mana sukar untuk dijelaskan samada ianya datang dari negara pengeluar atau pun dari negara jiran seberang tambak atau pun edaran dari negara Malaysia sendiri. Mungkin kolektor lama lebih arif dan lebih mengetahui akan sejarahnya, bagi duacongkak yang masih baru dalam kleksi gelas ini sekadar kumpul dan kurang arif tentang sejarahnya.

Apa pun simpannnnn…dulu.

jumpa dan simpan

Gelas Coca Cola “cacat”

 Gelas Coca Cola yang diperolehi dari seorang kenalan yang mempunyai simpanan sebanyak tiga biji kesemuanya. Pada mulanya sekadar ingin melihat koleksi yang dipamirkan didinding kedainya, tapi bila diamati diantara tiga biji gelas itu, dapati yang sebiji ini agak kelainan. Dengan izinnya duacongkak mengambil satu persatu dan melihat serta membandingkan samada semua coraknya sama atau pun tidak. Ternyata diantara tiga gelas ini hanya satu saja yang berkeadaan seperti dalam gambar. Apa lagi…tanpa berlengah lagi duacongkak cuba memujuknya untuk dapatkan sebiji untuk dijadikan koleksi. Oleh kerana kenal dan sebelum ini pun pernah dapatkan barang darinya lalu gelas ini pun berpindah tangan dengan harga yang mampu dimiliki. Keistimewaan pada gelas ini tidak diceritakan padanya kerana takut nanti dia tidak jadi lepaskan.

  

 Apakah yang istimewanya pada gelas ini…kena tunggu dulu.

 Gambar ini dari sebiji gelas dan bukannya dua atau tiga dan gambar dua lagi gelas tidak diambil sebab waktu ditemui gelas ini, kamera tidak dibawa bersama.

  

 beberapa posisi gambar gelas yang diambil

 Lihat pada keratan gambar yang diambil iaitu pada bahagian corak daun. Bagi gelas biasa, kita akan lihat warnanya berada dalam imej tapi berbeza dengan gelas ini dimana warna terkeluar dari imej daun dan bunga. Pasti gelas ini bukannya satu yang terjadi seperti ini, mungkin lebih dan berada dalam simpanan kolektor atau mereka yang sudah lama berkecimpung dengan pengumpulan barangan Coca Cola. Berbeza dengan duacongkak yang masih baru hendak kumpul dan dapatkan barangan ikut termampu saja. 

 Lihat pula cetakan pada jenama Coca Cola, warna merahnya berada diluar imej hingga kelihatan begitu comot sekali.

 Bahagian bawah gelas yang juga lari warna dari imej. Sejarah gelas ini duacongkak tidak pasti bila dikeluarkan dan dari negara mana  asalnya. Samada dari Malaysia atau pun Singapura. Sebarang kecacatan tidak mungkin boleh diedar sebaliknya akan dimusnahkan. Apa lagi bila gelas ini dikeluarkan khusus kepada satu jenama besar yang terkenal seluruh dunia, Sudah semestinya mereka akan menjaga kualiti setiap barangan yang diedar. Bagi gelas ini begitu terang dan jelas akan kesilapan semasa proses cetakan dari kilang. Dengan sebab itu juga duacongkak cuba dapatkan dari kenalan kerana tertarik pada gelas error yang mungkin RARE. Apa lagi sekiranya gelas ini sendiri dikira RARE, sudah pasti errornya RR

Apa pun simpannnnn…dulu.

Gelas (Pepsi Cola)

HAVE A PEPSI DAY

 

Gelas Pepsi Cola dengan lima tulisan HAVE A PEPSI DAY dalam dua warna berselang, merah dan biru. Ianya dicetak pada satu bahagian sahaja.

 

Pada gambar bahagian kedua tanpa cetakan dan dapat lihat logo dan tulisan dalam keadaan terbalik. Gelas ini diperolehi semasa pergi ke Rengit Batu Pahat bersama keluarga. Tak ada niat pun nak dapatkan barang begini, tapi bila dah jumpa tak kan nak biar saja. Belek belek dan tenguk barang pun masih baik lagi…sambar je laa…

Apa pun simpannnnn…dulu.

Gelas Pepsi Cola

Have a Pepsi Day!

   

Sebiji gelas Pepsi dengan tema ” Have a Pepsi Day! “. Gelas ini terdapat tulisan biru dibahagian bawah seperti yang dapat dilihat pada gambar diatas. Tulisan biru itu berbunyi: ” BOTTLED BY YEO HIAP SENG LTD UNDER THE AUTHORITY OF PEPSICO INC. NY. USA

Tahun berapa dikeluarkan gelas ini tidak pasti. Cuba lihat pengenalan pada bahagian tapak gelas pula.

 

Pada bahagian tapak gelas ini ada tulisan timbul disebelah kanan yang berbunyi: PASARI dan dibahagian tengahnya pula huruf PS dalam bulatan. Sebenarnya duacongkak tidak faham semua tulisan tersebut dan tujuan di jelaskan ini semata mata untuk otai otai yang lebih arif tentang sejarah Pepsi Cola dan juga mana mana yang sudi berkongsi pendapat untuk memberi infonya. Gelas ini juga tidak pasti keluaran dari negara mana tapi yang pasti Yeo Hiap Seng adalah dari Malaysia yang mendapat kebenaran dari Pepsico Ltd. NY. USA untuk di botolkan. 

Kenapa Yeo Hiap Seng mendapat lesen sedangkan apa yang kita tahu Pepsi Cola di Malaysia diedarkan oleh Permanis (M) Sdn Bhd.

Sesiapa yang sudi beri jawapan dipersilakan…baru kongsi namanya.

Apa pun simpannnnn…dulu.

 

Gelas Kaca Kickapoo

Gelas kaca Kickapoo dimana kita dapat lihat logonya tetap sama tidak berubah dari dulu hingga kini. Gelas ini dipercayai keluaran tahun 70an berpandukan pada logo yang terdapat ditapak gelas seperti pada gambar dibawah. 

 

Gambar diambil dari sudut atas kedalam gelas dan anak panah menunjukkan logo crown ditengah tengahnya.

Apa pun simpannnnn…dulu.