GegaRrrrr kembali lagi

Double Die Reverse lawan Double Die Obverse.

Pada 18hb April 2012, duacongkak buat pertukaran syiling dengan sebanyak RM 40 untuk siri 5 sen. Pada 20hb April 2012 baru selesai mengasingkan syiling yang diperlukan dan yang mana tidak perlu dikumpul untuk tujuan tukar kembali bagi mendapatkan nilai note.

Banyak juga penghasilan yang diperolehi dari nilai rm 40 itu dan diantaranya adalah sekeping syiling 5 sen yang ditempa pada tahun 2009 dan juga sekeping syiling yang ditempa pada tahun 2008. Kedua duanya agak istimewa sekali dan menjadi idaman selama ini untuk melihat didepan mata dan menjadi milik sendiri.

Ada lagi hasil lainnya yang istimewa tapi, kali ini biarlah duacongkak keluarkan dulu siri 5 sen 2009 untuk rujukan semua. Ini kerana duacongkak sendiri amat teruja akan pertemuan syiling tersebut. Bagi siri seterusnya akan diterbitkan dilain masa. InsyaAllah.

 

Ini adalah syiling 5 sen yang ditempa pada tahun 2009 sebagai mana yang dapat dilihat. Melihatkan rupa bentuknya adalah seperti biasa bagi syiling siri ke dua bunga raya dan ditempa sebanyak 128,172,842 keping. Melihat jumlah tersebut sudah pasti ianya amat banyak dipasaran dan mungkin kolektor syiling mencari yang betul betul cantik untuk disimpan. Diantaranya, ada juga yang tidak ambil peduli pada syiling ini yang nilai mukanya hanya 5 sen.

Disebaliknya jika kita buat penelitian sudah pasti akan teruja dan mencuba untuk dapatkan sebagai satu koleksi peribadi. Apatah lagi syiling siri kedua ini masih banyak dipasaran dan masih berpeluang untuk mencari dan mengumpul sebanyak yang mungkin.

 

Bahagian muka depan syiling 5 sen 2009.

Pada bahagian muka syiling ini kita dapat lihat kelainan yang amat menarik sekali. Jelas dan terang sekai keadaan dimana berlakunya proses tempaan berganda atau istilah yang mudah diingati iaitu ” Double Die Obverse Error “. Kita boleh lihat bahagian paling atas iaitu kepala paku dimana kelihatan dua objek seolah olah diletakan KLCC Twin Tower diatasnya. (Pinjam istilah dari seorang kawan…maaf yer..)

Seterusnya kita boleh lihat bahagian tali kiri dan kanan gasing dimana keadaan talinya berlapis lapis, sedangkan ‘ paku gasing ‘ tidak pula berlaku DDO dan ianya masih kekal dalam bentuk asal.

 

UFO berputar…

 

Tali dibahagian kiri gasing yang sedikit kelihatan berkembar.

 

Tali bahagian kanan gasing yang lebih terang dan jelas nampak berkembar. Ini adalah satu Varieti Error yang terdapat pada syiling 5 sen tempaan tahun 2009. Sebagai mana yang kita tahu dan sebelum ini duacongkak pernah terbitkan iaitu bagi syiling 5 sen tahun 2008 yang juga berkembar iaitu DDR, cuma bezanya adalah tahun 2009 di bahagian hadapan dan tahun 2008 tempaan berkembar pada bahagian belakang.

Diantara kedua dua syiling dengan imej berkembar ini, mana satu yang lebih baik dan menarik. Bagi duacongkak adalah kedua duanya menarik dan unik sekali untuk disimpan.

Kita lihat gambar kedua duanya yang digandingkan untuk tujuan semakan serta rujukan.

 

Inilah bentuk kedua duanya yang berlaku DDR dan DDO diantara syiling 2008 dan juga siri tahun 2009. Kedua dua syiling ini ditemui serentak dengan hasil pertukaran syiling sebanyak RM 40. Hasil yang amat memberangsangkan dan memberi semangat untuk mendapatkan lagi bagi menambah koleksi yang ada.

Apa pun simpannnnn…dulu.

 

5 sen 2007

retak menunggu belah.

Samada perumpamaan ini sesuai atau tidak mari kita lihat sama sama. Sekeping syiling 5 sen ditempa dan diedarkan untuk tahun 2007.

 

Reverse coin 2007

Pada permukaan syiling ini kalau kita lihat terdapat kesan retakan dari tengah arah jam 9.00 dan menuju ke arah Rim. Die Crack Error yang terjadi bersama Cud Error atau pun Die Gouge Error yang menunjukkan acuan telah berlubang ditengahnya. Oleh kerana kedudukan lubang yang besar maka metalnya turut muncul dan menebal.

Bukan itu saja, cuba lihat selain dari keretakan yang kita perolehi pada syiling ini, keadaan permukaan syiling agak kasar dan dipenuhi dengan minyak hingga sebahagian dari kedudukan daun bunga raya sebelah kanan tidak kelihatan. Begitu juga dengan stigma yang turut menjadi mangsa. Disini kita dapati kegagalan proses cetakan disebabkan oleh lebihan minyak hingga melenyapkan imej bunga raya. Filled Die Error. Wau…sudah ada tiga jenis Error disini pada sekeping syiling, biar pun minor Error namun sudah cukup bermakna untuk dijadikan koleksi.

 

Keratan gambar yang memudahkan untuk kita lihat kesan keretakan yang berlaku. Anak panah melintang sebelah bawah menunjukkan Die Crack Error terjadi hingga ke bahagian Rim dan anak panah pendek pula menunjukkan Die Cud Error atau pun Die Gouge Error yang amat jelas.

 

Keratan gambaran dari sisi sebelah kanan syiling dimana kesan tompokan berlaku dibawah kelopak bunga raya, akibat dari tompokan yang kasar menyebabkan daun bunga raya sebelah kanan lenyap dan begitu juga pada tangkai stigma dimana hampir tidak kelihatan. Struck Through Grease…

Tidak cukup dengan itu…

 

Jika dilihat pada permukaan hadapan syiling ini sepertinya tiada apa apa kecacatan melainkan kekasarannya sahaja.

 

Kita terus sahaja pada bahagian keratan gambar. Lihat pada imej dalam bulatan dan arah anak panah yang menunjukkan tali gasing. Pada bahagian tali gasing tersebut kita dapati penuh dengan ‘ teritip ‘ atau pun ‘ anak benih  kupang ‘. Lebih mudah lagi ‘ bunga karang ‘. Nak kata ianya Die Chip Error tapi keadaannya amat besar pula. Kebiasaan Die Chip Error hanya kecil kecilan sahaja…

 

Inilah Retak yang menunggu belah.

Die Crack Error yang terjadi pada kedudukan yang sama diantara reverse dan obverse. Sekiranya dibiarkan berterusan tanpa di baik pulih rasanya, acuan ini pasti akan pecah dan pasti syiling yang dikeluarkan akan bertambah menarik dijadikan koleksi oleh para peminat syiling cacat.

 

Gabungan sekeping syiling dengan Retak menunggu belah.

Apa pun simpannnnn…dulu.

 

lagi 5 sen 2006

“Die Crack Error”

 Lagi sekali diterbitkan berkaitan syiling 5 sen 2006. Kali ini ditunjukkan pula penemuan sekeping syiling yang mengalami kecacatan pada ‘ gasing ‘.

Gambar dibawah adalah bahagian reverse dengan nilai muka serta tahun ditempa. 

 

Merujuk pada gambar dibawah iaitu bahagian muka hadapannya, kita dapat lihat rupa bentuk gasing dengan talinya. Walau bagai mana pun cuba kita lihat pada bahagian atas gasing dimana terdapat extra metal yang menuju ke arah RIM. Disini kita lihat keadaan Die Crack Error yang kecil dan tidak melibatkan bahagian RIM dan juga bahagian atas kepala gasing. Malangnya permukaan syiling ini sudah tercemar dengan benda asing yang menempel di antara jam 1.00 dan jam 2.00 yang menjadikan syiling ini tidak berapa menarik. Walau bagaimana pun atas sebab kecacatan dari proses tempaan maka, syiling ini terpaksa juga dijadikan koleksi sementara. 

 

 Gambar bawah menunjukkan keratan dibahagian kepala gasing yang terjadinya Die Crack Error.

 

 Dan sebagai mana biasa cantuman gambar antara Obv dan Rev tetap dikeluuarkan sama untuk mudah dilihat secara serentak.

 

 Banyak ciri ciri kelemahan yang terdapat pada syiling 5 sen 2006 sewaktu proses ianya ditempa. Ini memberi peluang kepada penggemar atau pengumpul syiling syiling Error Malaysia mengumpul dan menjadikan sebahagian daripada hobi. Sambil itu kita dapat mempelajari sedikit sebanyak jenis jenis error yang ada. Sekali pun duacongkak tidak pandai menerangkan sebab terjadi errornya namun dengan bahan yang ada boleh juga dijadikan satu rujukan.

Terima kasih kepada semua pengunjung tidak kira dimana saja anda berada.

Apa pun simpannnnn…dulu.

 

5sen 2006 lagi

Gasing dengan “dengu wau.”

Sebut perkataan “dengu” mungkin ada yang tidak faham dan duacongkak sendiri tidak pasti apakah sebutan itu betul atau pun tidak sebab, perkataan dengu itu diambil sewaktu zaman duacongkak masih kecil dizaman kanak kanak sekolah lagi. Dengu yang dimaksudkan adalah sejenis tali yang diperbuat dari hirisan daun mengkuang pandan yang dijadikan tikar atau tali tape recorder atau tali kaset atau katrige. Ianya diikat pada seraut buluh dari hujung ke hujung lalu raut buluh itu diletak pada bahagian kepala wau. Sebagai contoh yang senang dilihat sebagai mana yang terdapat pada wau untuk syiling 50 sen. Dibahagian kepala wau itu terdapat satu garisan lintang dan dengu akan diletakkan padanya untuk mendatangkan bunyi yang menarik bila diterbangkan ke udara.

Selain dengu pada wau ada satu lagi perkataan dengu yang digunakan bagi orang Islam atau muslim. Ianya akan disebut bila kita membaca kitab suci Al Quran dimana bila berlagu mesti kena pada dengunya. Rasanya tidak perlu dijelaskan disini memandangkan semua umat Islam pasti tahu maksudnya.

Apa yang penting duacongkak hendak tunjukkan duit syiling yang ada dalam simpanan sebagai tatapan dan rujukan pembaca semua, atau setidaknya boleh dibincangkan bersama.

Gambar bawah adalah bahagian reverse untuk syiling 5 sen 2006.

 

Cuba kita lihat keadaan muka belakang syiling ini samada pada permukaannya atau cetakan yang ada. Pada tulisan ” BANK ” jika dibesarkan kita dapati ada kesan gegaran iaitu sama seperti kesan MDD, begitu juga pada perkataan ” MALAYSIA”. Tapi pada perkataan ” NEGARA ” kita lihat benjulan timbul bermula dari ” N ” untuk bank hingga ” A ” untuk Negara. Disini kita dapati proses cetakan agak lemah yang mungkin berlaku semasa proses ujian.

Seterusnya kita lihat pada bahagian bunga raya dimana minyak geris telah tersumbat pada acuan menyebabkan bentuk bunga tidak menjadi. Paling ketara jika dilihat pada tangkai stigma yang dilapisi metal. Permukaan syiling jangan ceritalah…bila didapati keadaannya hampir keseluruhan menggerutu dan sedikit berlaku pada rim. Cantiknya syiling ini iaitu bahagian rim membulat sekata, kebiasaan dilihat adalah Off Center.

Gambar bawah iaitu bahagian depan syiling 5 sen 2006 yang sama.

 

 Pada gambar syiling ini duacongkak sudah letakkan bulatan pada bahagian tali dimana, kesan gegaran telah menyebabkan tali nampak berlapis dan disini juga kita dapati minyak geris berlebihan hingga bentuk tali tidak halus serta tajam sebagai mana biasa. Selain tanda bulatan terdapat tanda anak panah kiri dan kanan pada satu jalur melintang dibahagian bawah kepala gasing dan dipangkal paku. Tidak mungkin jaluran melintang itu terjadi disebabkan oleh Die Crack Error sebab garisannya amat lurus sebagaimana bentuk yang ada pada wau 50 sen. Ada kemungkinan ianya adalah Die Scratch Error yang terjadi sebelum proses syiling ditempa, sebabnya jalur yang melintang tidak memotong paku gasing, sekiranya acuan retak atau serpih sudah pasti pada bahagian paku juga turut akan mendapat kesannya.

(Gasing pun nak letak dengu bagi keluarkan bunyi sewaktu berputar)

 

 Gambar keratan dibahagian tali yang berlapis.

 

Gambar keratan dibahagian Die Scratch Error yang berlaku pada plate coin sebelum proses tempa dilakukan. 

 

 Gabungan kedua dua muka syiling Obv dan Rev 5 sen 2006.

Apa pun simpannnnn…dulu.

 

 

5 sen 2006 FD

antara yang lemah.

Beberapa syiling Malaysia siri 5 sen yang lemah tempaannya. Diantara yang lemah, pelbagai tahun kita boleh temui termasuklah bagi varieti 2006 yang akan ditunjukkan ini. Sebenarnya bukan satu ini saja jenis tempaan yang dikatakan lemah malah untuk tahun 2006 ada pelbagai bentuk kelemahan boleh dilihat.

 

Cuba perhatikan bentuk gasing dimana kelihatan ada lebihan dibawah kepala gasing itu. Ianya terjadi bagaikan sejenis gandaan, samada ianya berupa MDD atau pun disebabkan oleh lebihan gris sama sekali tidak pasti. Begitu juga dengan keadaan tali gasing yang tidak berapa tajam bentuknya dan ada diantara bahagian seperti tersumbat dan hilang bentuk asal, mungkin dikirakan sebagai Filled Die Error. Hanya yang betul betul pakar tentang coin error boleh mengesahkan. 

 

Bahagian reverse yang kita dapat lihat keadaan permukaannya yang amat teruk sekali. Tulisan Bank Negara Malaysia yang sudah tersumbat dengan gris hingga menyebabkan perkataan itu tidak sempurna dan ada yang hampir hilang serta mengembang hingga tidak menampakkan bentuknya. Selain itu pada perkataan sen juga turut mendapat kesan hingga tidak begitu jelas.

 

Gabungan kedua dua bahagian dimana sebelah kiri adalah reverse dan kanan adalah obverse 5 sen 2006. 

Apa pun simpannnnn…dulu’

 

back to school 2

5 sen 1993 dengan Die Chip ” back to school “

Sebelum ini pernah dikeluarkan syiling Back To School untuk syiling 10 sen dan kali ini dikeluarkan pula tajuk yang sama dengan nilai 5 sen keluaran tahun 1993. Syiling ini juga dalam kumpulan syiling Worn Die atau struck through greese kerana keadaan syiling yang arcanya mengembang tidak tajam serta permukaan yang menggerutu. Cuba lihat pada gambar dibawah pada bahagian obverse.  Keliling syiling ini berbeza dengan permukaan dibahagian tengah syiling yang nampak licin. Tali gasing pula kelihatan kembang disebabkan gris tersumbat. Sisi rim bagi syiling ini kelihatan seperti minor off center, atau pun mungkin ianya Mis Aligned Die yang bermula dari jam 1.oo hingga jam 11.00.

 

Merujuk pada bahagian reverse pula, keadaan rim hampir sama dengan bahagian obverse dimana, kedudukannya telah lari dari keadaan biasa. Yang menariknya bila didapati pada angka ‘ 9 ‘ untuk tahun terdapat Die Chip Error yang menempel dalam bentuk Beg Galas. Bukan itu saja, cuba lihat angka ‘ 9 ‘ disebelah kiri, kita dapati angkanya seperti tersumbat dan sedikit gegaran berlaku hingga kelihatan keadaan berganda pada angka tersebut.

 

Untuk lihat lebih jelas lagi, duacongkak telah potong bahagian tersebut bagi mudah untuk dilihat. Keadaan angka 1993 hampir kesemuanya mengembang sedangkan angka 5 untuk nilai syiling ini seperti biasa saja. 

 

Gabungan gambar antara obv dan rev 

 

 Biar pun dari jenis minor error tapi bila dapat dijadikan koleksi sudah cukup memuaskan hati. Tinggal lagi belum dapat menyusun untuk sirinya sahaja dimana penemuan tidak serata…ianya memakan masa yang agak lama untuk ditemui error yang sama tapi tahun dan nilai muka syiling yang berlainan.

Apa pun simpannnnn…dulu.

 

5 sen 1997

Key Date untuk 5 sen 1997

Diantara syiling siri bunga raya iaitu siri ke 2 bagi syiling Malaysia, untuk 5 sen 1997 adalah pengeluaran yang paling sedikit ditempa dan dikatakan juga sebagai ” key date “. Jumlah tempaan sebanyak 7,703,850 keping, apa pun rasanya syiling ini masih mudah ditemui berbanding dengan syiling ” key date ” lain seperti siri 10 sen 1993, 1994, 20 sen 1970, 1994 begitu juga dengan 50 sen 1995.

Kita cuba selami jenis jenis 5 sen 1997 yang mengalami kecacatan. Walau pun ianya dikeluarkan paling sedikit namun hasil tempaannya yang beredar dipasaran agak kurang berkualiti. Bukan semua syiling 5 sen 1997 ini tidak berkualiti tempaannya, cuma duacongkak sengaja tunjukkan sebahagian dari apa yang ada tentang kualitinya. Yang cantik tempaan sengaja tidak dikeluarkan dan biarlah ianya dijadikan koleksi dan diantara koleksi ” key date ” yang terbanyak dalam simpanan berbanding dengan siri ” key date ” syiling dengan nilai muka lainnya.

 

Syiling 5 sen 1997 pertama diatas adalah contoh dimana keadaan tempaan yang amat lemah. Istilah mudah untuk syiling ini bagi duacongkak adalah diantara koleksi ” Worn Die ” atau ” Struck Trough Greese “. Kita dapat lihat hasil tempaannya yang mengembang disana sini. Cuba lihat bahagian tulisan ‘ BANK NEGARA MALAYSIA ‘ dimana hurufnya kurang tajam dan mengembang dan ditambah lagi keadaan permukaan syiling yang menggerutu tidak kemas pembuatannya. Begitu juga dengan angka tahun 1997 serta keseluruhan permukaan duit syiling ini.

 

Gambar kedua pula kita dapat lihat perbezaan diantara gambar pertama tadi.

Seterusnya gambar ketiga dibawah.

 

Bagi syiling ketiga pula kita dapat lihat tulisannya seperti berkembar hasil dari gegaran pada alat tempaan.

 

salah satu bentuk syiling bahagian belakang ( reverse ).

 

Gabungan gambar untuk syiling pertama dan kedua diatas.

 

Gabungan gambar syiling 5 sen 1997 yang ketiga obverse dan reverse.

Setakat ini pengumpulan ” key date ” 5 sen 1997 dalam simpanan lebih kurang 50 keping dengan pelbagai gred, sebab itu duacongkak katakan siri 5 sen ini masih mudah ditemui dipasaran, cuma kita perlu cari yang terbaik untuk dijadikan koleksinya. Bagi syiling yang terlalu kotor dan berkarah semuanya sudah ditukar dan diedarkan semula untuk pasaran. ( kalau kotor sikit sikit simpan juga.)

Apa pun simpannnnn…dulu.

 

20 sen 1981

Siri GegaRrrrr

 Belum habis lagi siri gegar, kini muncul lagi satu sambungannya.

 

obverse siri Parlimen dan gambar bawahnya pula bahagian reverse.

 

Dalam banyak siri gegar yang dikeluarkan, amat kurang ditemui siri Parlimen, kebanyakan siri kedua untuk syiling Malaysia dengan tema Bunga Raya. Kali ini ditampilkan pula siri pertama syiling Malaysia dimana temanya adalah Parlimen. 

 

Lihat pada keratan gambar dibahagian tulisan Malaysia. Terdapat empat anak panah ungu yang menunjukkan ianya kesan dari MDD dan kita dapat lihat gegaran yang berlaku semasa proses penempaan hingga huruf tersebut seperti berganda dan berbayang. Sekiranya tulisan itu nampak jelas berganda berariti syiling ini dalam istilah Double Die Error tapi, disebabkan ianya berbayang maka senang sebut ianya adalah MDD. Akibat dari alat tempa longgar atas faktor proses tempaan yang sudah terlalu lama tanpa henti. Apabila diketatkan kembali sekeru maka cetakan kembali normal. 

 

Selain pada tulisan Malaysia diatas, kita lihat pula dibahagian angka 20 seperti dalam gambar dengan anak panah. Jalur bayangan garisan angka ‘ O ” amat halus sebaris dengan objeknya. 

 

 Pada bahagian bawah dengan tulisan SEN juga Tahun di keluarkan kita boleh lihat kesan tarahan. Disini ketelitian amat diperlukan kerana bentuknya hampir sama dengan DDR.

 

Gambar perbandingan duit syiling antara MDD bersama syiling biasa tanpa MDD disebelah kanan. Mungkin yang lebih faham atau pakar berkaitan dengan MDD/DDR dapat membandingkan diantara kedua duanya. Bagi duacongkak… 

Apa pun simpannnnn…dulu.

 

5 sen 2010

Sengat Pari

Sebut sengat pari semua orang tahu dan semua orang kenal mungkin ada diantaranya pernah terkena dengan sengat ikan pari. Bagi duacongkak, sengat ikan pari belum pernah kena tapi kalau ikan ketuka sudah biasa terkena sengatnya. Bentuk ikan ketuka lebih kurang sama dengan ikan pari cuma ianya agak kecil sebesar pinggan makan. Sesiapa saja yang terkena sengat ikan pari, sudah tentu akan merasai bisa dan kesakitan yang amat sangat. Malah ada diantaranya perlu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, ini kerana sengat ikan pari amat berbisa begitu juga dengan ikan ketuka juga ikan ikan lain yang mempunyai sengat.

Ada juga diantara mereka terutama para nelayan yang tahu bagai mana petua untuk menahan sakit sebelum di buat rawatan di hospital. Apa yang duacongkak tahu dari mulut orang lama juga dari nelayan sendiri, sekiranya terkena sengat ikan dan untuk melawan bisanya perlu mencari sejenis lumut yang melekat pada batu atau kayu, diambil lalu dilekatkan pada tempat terkena sengat itu tadi. Samada cara itu betul atau tidak, duacongkak tidak pasti sebab tidak pernah mencubanya sekali pun beberapa kali terkena sengat ikan ikan di laut mahu pun ikan darat. Mungkin ada cara lain lagi yang lebih baik dari apa yang duacongkak dapat tahu.

Pengalaman menghadapi bisa dari sengat ikan tentu ramai yang tahu terutama bagi mereka yang gemar memancing atau menangkap ikan. Satu ketika dulu duacongkak sendiri gemar melakukannya kerana minat memancing dan mengikut orang berjala di tepi pantai. Pelbagai jenis ikan berbisa sudah dirasai dan apa yang duacongkak lakukan untuk menghadapi bisa itu hanyalah mengambil air liur di lelangit lalu disapukan pada bahagian terkena sengat…InsyaAllah, berkat keyakinan bisa dapat dilawan tanpa perlu ke Hospital. (itu cara duacongkak berdasarkan pengalaman dan petua dari nelayan juga)

Panjang pula cerita sengat pari ni…

 

Kita masuk semula dalam topik yang sebenarnya. Melihat pada gambar diatas adalah sekeping syiling 5 sen yang dikeluarkan pada tahun 2010. Syiling ini amat menarik kerana ianya adalah yellow luster dan pada bahagian muka belakang (reverse) syiling ini tidak kelihatan cacat yang ketara.

 

Ini pula bahagian muka depan syiling (obverse) dengan bentuk gasing, disinilah kita dapat lihat apa yang dikatakan “sengat pari” sebagai mana yang ditunjukkan dengan anak panah ungu. Kedudukan sengat cukup menarik dan nampak begitu jelas sekali yang dalam bahasa numisnya adalah Die Crack Error. Kesemua sekali Die Crack yang kita dapat lihat pada syiling ini adalah tiga. Dua yang besar dan satu yang halus. Mungkin ada istilah lain selain die crack error belum pasti tapi yang jelas bentuknya seperti DCE. 

   

 Keratan gambar untuk dilihat dengan lebih jelas lagi.

 

Gabungan gambar syiling 5 sen 2010 reverse dan obverse. (belakang dan depannya)

Apa pun simpannnnn…dulu.

 

5 sen 2006

” bertepek “

Tu dia…dah mula nak merapu.

 Perkataan BERTEPEK jarang sekali didengari pada zaman kini melainkan di kampung kampung mungkin masih digunakan. Istilah yang paling mudah iaitu sesuatu benda yang BERTEPEK di satu satu tempat yang tidak sepatutnya.  (kalau salah tafsir jangan marah sebab mungkin ada lagi maksudnya yang lain)

 

 5 sen 0bverse bagi gambar diatas. Lihat pula bahagian reverse dibawah.

 

 Dari apa yang kita lihat pada syiling 5 sen diatas, pasti terpandang sesuatu yang sedang BERTEPEK dikaki angka ‘ 5 ‘ Kebiasaan kita temui pada syiling 50 sen 1997 dimana istilah yang pernah digunakan iaitu ” bergenang si air mata “ atau pun disebut juga sebagai ” syiling menangis ” tapi kali ini berbeza sedikit dimana keadaan metal yang lebih itu melandai. Oleh sebab itu duacongkak berikan istilah bertepek dimana berbeza sekali dengan bentuk titisan air mata.

 

 Lihat pada bahagian keratan dimana kita dapat lihat Die Chip Error yang bertepek di kaki angka ‘ 5 ‘.

 

Syiling yang sama tapi disatukan reverse dan obversenya untuk penuhkan ruangan. 

Apa pun simpannnnn…dulu.