10sen buta

Variety 2008

Melihat pada tajuk diatas tertulis 10sen buta. Apakah maksud 10sen buta itu dan apa yang menariknya. Pada keluaran kali ini duacongkak ingin berkongsi dengan rakan rakan dan juga pengumpul syiling error dan variety. Tidak kira ianya cacat atau ralat besar mahu pun yang sekecilnya. Ini kerana duacongkak sendiri sekadar suka suka mengumpul duit syiling yang lain dari kebiasaan kita lihat setiap hari.

Bagi syiling 10sen 2008 terlalu banyak variety yang boleh kita lihat dan diantaranya variety yang ingin ditunjukkan adalah apa yang duacongkak perkatakan iaitu siri buta.

DSC_0134a

Sebagai mana yang kita ketahui dalam permainan congkak, dalam pusingan pertama pasti ada seorang pemain akan kalah dan pasti ianya akan hilang satu atau dua lubang yang disebut sebagai lubang buta. Masa zaman kanak kanak dulu ianya dipanggil lubang terbakar. Dalam pusingan kedua, yang menang tapak akan berjalan dahulu dan akan mengatur langkah mengutip sebanyak mungkin buah congkak dari pihak lawan. Paling menarik sekali bila lubang yang buta atau terbakar itu cuma satu sahaja. Sekiranya orang itu mahir dalam permainan congkak sudah pasti akan menyapu bersih hingga menyebabkan lawannya mengalami kekalahan yang teruk dengan menambahkan lagi lubang buta atau terbakar itu. Kiranya pemilik lubang buta atau terbakar telah menang tapak dan berjaya jalan dahulu maka sudah pasti pihak yang mempunyai lubang congkak yang penuh akan mengalami kekalahan teruk pada pusingan ketiga dan lubang congkaknya pula akan buta lebih dari satu.

Syarat semasa bermain congkak dimana kita tidak boleh memasukkan buah congkak dalam lubang buta atau terbakar tersebut kerana ianya sudah tidak boleh diguna pakai. Sekiranya dimasukkan juga bermakna buah congkak itu akan dirampas oleh pihak lawan dan permainannya tamat dan tidak boleh berjalan lagi. Ada diantara pemain yang sengaja memasukkan dalam lubang buta ini kerana mengelak dari perjalanan dalam permainan mati dalam lubang kosong. Ada juga yang mengelat dengan sengaja tidak memasukkan buah congkak dalam rumahnya sendiri. Berbagai cara digunakan dan kekadang sengaja melakukan penipuan dalam permainan kerana yang penting mahu menang. Kecekapan mata dan kepantasan tangan perlu ada bagi setiap pemain kerana ada pelbagai cara hendak menipu dan bagi yang menipu juga mesti pantas sampai pihak lawan tidak dapat mengesannya. Sebagai contoh menyelit buah congkak dicelah jari yang paling sukar untuk dikesan.

Melalut pula sampai cerita cara permainan congkak.

DSC_0135a

Berbalik semula dengan tajuk diatas. Pada setiap syiling 10sen siri kedua atau siri bunga raya, kita dapat lihat temanya adalah papan congkak yang diletakkan diatas sebidang tikar. Mungkin ramai yang perasan setiap lubang congkak ada miliki buahnya kecuali satu sahaja lubang yang tidak mempunyai buah congkak. Cuba perhatikan pada lubang ketujuh disebelah atas dimana setiap siri tahun tempaan, buah dalam lubang congkaknya tiada. Kalau dikirakan dalam permainan ianya dikatakan lubang buta atau lubang yang terbakar dan permainan congkak ini adalah dalam pusingan yang kedua.

Tapi, apa yang ada pada syiling 10sen 2008 ini adalah lubang buta tanpa buah dibahagian tengah iaitu pada lubang ke empat. Sebenarnya sudah lama duacongkak perasan lubang ke empat untuk syiling 10sen 2008 ini kosong tanpa buahnya dan kali ini baru duacongkak muatkan dalam blog untuk tontonan. Ianya mudah ditemui dan keluarannya boleh dikatakan banyak. Ada diantaranya lubang keempat memiliki sebiji buah congkak sebagai mana biasa kita lihat. Jika dibandingkan yang ada buah congkak dengan yang kosong, sudah tentu lebih banyak pada yang ada sebiji buah congkak dari yang kosong atau buta ini.

DSC_0135a1

Gambar diatas adalah contoh yang paling mudah untuk kita lihat dimana keadaan lubang congkak yang tiada buahnya. Selain dari keluaran tahun 2008, kita juga boleh temui syiling 10sen buta ini pada keluaran tahun 1989, 1990 dan 1991. Mungkin sudah ramai yang perasan dengan keadaan syiling keluaran untuk tahun yang disebutkan, tinggal lagi tidak dipamir atau diketengahkan sebagai rujukan.

Apa yang dilihat ini bagi duacongkak tidak berani katakan ianya sebagai Filled Die Error kerana ada kemungkinan ianya adalah satu variety untuk tahun 2008, begitu juga pada siri Tahun 1989, 1990 dan 1991.

Harap maaf kerana duacongkak tidak muatkan sekali gambar syiling 10sen keluaran  lainnya seperti yang diperkatakan ini kerana keadaannya adalah sama.

Apa pun layan dulu… 

Tinggalkan komen